| |
|
 |
| |
NEWS
SASAR JUALAN RM5 JUTA
Rabu, 17 Feb 2010
Harian Metro
ADABI Consumer Industries Sdn Bhd (Adabi), pengeluar produk makanan
berasaskan rempah ratus, mengembangkan lagi rangkaian produknya
dengan memperkenalkan produk terbaru iaitu Cili Giling Adabi
(CGA) mulai Mac ini.
Eksekutif Produknya, Nor Azmira Mohamad Ramli,
berkata menerusi penyelidikan dan pembangunan yang dijalankan,
produk baru Adabi itu dihasilkan bagi memudahkan
suri rumah dan wanita bekerja menyediakan masakan di rumah
dengan mudah dan cepat.
Menurutnya, CGA dihasilkan daripada resipi cili
giling sebenar, malah mempunyai kelebihan dengan kandungan cili
80 peratus berbanding cili boh yang mengandungi 70
peratus air dan cuka manakala 30 peratus cili.
“Kami mensasarkan jualan RM5.2 juta apabila cili
giling ini mula dipasarkan kerana sudah melepasi piawaian
ditetapkan dan menjadi pilihan pengguna menerusi tinjauan
yang dijalankan.
“Malah, untuk penyelidikan saja, kami
memperuntukkan RM300,000 untuk menghasilkan CGA ini dan orang
ramai boleh mendapatkannya di semua pasar raya besar nanti,”
katanya pada sidang media selepas pelancaran CGA di Rawang.
Hadir sama, Presiden Adabi, Abdul Hady Zabil dan
Pengurus Pembangunan Pengedaran Kumpulan Adabi, Syed Mahadzir
Syed Manshor. Katanya, produk CGA itu akan mula
berada di pasaran pada awal Mac ini dengan sasaran jualan
sebanyak 30 peratus setahun daripada jumlah keseluruhan
pasaran cili giling bernilai RM17 juta setahun di negara ini.
Beliau berkata, sebagai permulaan, pihaknya akan
mengeluarkan pek 150 gram cili giling yang dijual pada harga
RM1.35 seunit sebelum menyediakan pek besar 250, 400
dan 900 gram dalam tempoh terdekat.
Bagaimanapun, katanya, CGA lebih bernilai
berbanding produk keluaran cili giling di pasaran kerana ia
mempunyai tahap kepekatan dan kepedasan iaitu satu sudu CGA
sudah mencukupi untuk keperluan memasak.
|
|
|