|
NEWS
SBPKA Aktif Anjur Program Bermanfaat
10 November 2008
Sinar Harian
RAWANG: Sesuatu yang membanggakan bagi Skuad Bomba Pencegah
Kebakaran Adabi (SBPKA) apabila ia merupakan antara peristis
pasukan yang seumpamanya dalam Persatuan Pekilang-pekilang
Kawasan Rawang Integrated Industrial Park.
Ketua SBPKA, Wan Zulkarnain Wan Hassan, 40, berkata
penubuhan pasukan yang diilhamkan penaungnya iaitu Pengarah
Urusan Adabi Consumer Industries Sdn Bhd (Adabi), Datuk Syed
Manshor Syed Mahmood, sememangnya amat baik dan berguna bagi
membantu syarikat mencegah kejadian kebakaran, di samping
melakukan tugas sukarela.
"Selain itu, fungsi SBPKA yang ditubuhkan sejak 1998 ini
adalah untuk memberikan penerangan kepada jabatan dan
kakitangan tentang langkah-langkah mencegah kebakaran yang
boleh diambil sekiranya berlaku kejadian tersebut.
“Walaupun pada hujung minggu, di samping kawalan
keselamatan sedia ada, setiap anggota SBPKA tetap ditugaskan
mengikut jadual untuk membuat lawatan ke kilang bagi
memastikan semua dalam keadaan selamat," kata Wan yang
bertugas sebagai Eksekutif Gudang di syarikat berkenaan.
Beliau berkata demikian semasa program kempen derma darah
anjuran SBPKA dengan kerjasama Tabung Darah Negara (TDN)
yang diiringi Pegawai Perubatan Unit TDN, Dr Mohd Rashdan
Abdul Ghani, di pejabat bangunan Adabi, semalam.
Sementara itu Setiausaha SBPKA, Azatul Izan Mohamed Nordin
memberitahu, sambutan terhadap program yang dibuka kepada
kakitangan Adabi itu amat menggalakkan dengan penyertaan
hampir 60 peserta yang mendaftar pada peringkat awal untuk
derma darah.
"Kebanyakan pekerja ada niat untuk mendermakan darah.
Tetapi, selalunya sebelum ini kita dengar alasan seperti 'tiada
tempat' dan 'sibuk kerja'. Jadi, di kesempatan sebegini,
mereka berpaluang untuk berbuat demikian.
"Untuk itu, kita sangat menghargai keprihatinan pihak
pengurusan yang memberikan sokongan kepada kami dari segi
peruntukan dan kerjasama mengadakan program ini untuk
kakitangan syarikat. Saya percaya dengan program seterusnya
selepas ini lebih ramai staf tidak akan ketinggalan untuk
melakukan kebajikan sebegini," kata Azatul.
Menurut
Eksekutif Audit Dalaman Adabi ini, SBPKA sebelum ini aktif
mengadakan program kebajikan untuk komuniti sekitar seperti
lawatan ke rumah anak yatim dan memyumbang kepada masyarakat
yang terlibat dalam bencana dan sebagainya.
|