| |
NEWS
Penjelasan Rasmi Bagi Kenyataan Dalam E-mel Berangkai
Assalamualaikum & Salam Sejahtera
Pertamanya, terima kasih diatas sokongan dan keprihatinan saudara-saudari
terhadap produk Adabi.
Kebelakangan ini, Adabi Consumer Industries telah menerima rangkaian e-mel
yang berkemungkinan telah menimbulkan keraguan dan kemusykilan di kalangan
pelanggan-pelanggan Adabi tentang produk Adabi.
Ingin dimaklumkan di sini bahawa Adabi Consumer Industries adalah
sebuah syarikat bumiputra yang dimiliki sepenuhnya oleh orang Islam. Selain
itu, kakitangan pengeluarannya juga adalah 100% beragama Islam. Dalam
kesempatan ini, Adabi Consumer Industries ingin memperjelaskan tentang
isu-isu yang dibangkitkan di dalam e-mel yang disebarkan, dengan harapan
ianya dapat merungkai segala kemusykilan dan menghilangkan keraguan
saudara-saudari tentang produk Adabi.
1) Sos Cili & Sos Tomato
Sos Cili telah dikeluarkan oleh syarikat Adabi Consumer Industries sejak
sedekad yang lalu. Namun, disebabkan beberapa masalah teknikal dan kualiti,
adalah diakui bahawa sos cili dan sos tomato Adabi telah dibeli secara terus
daripada Syarikat Kimball Cheong Chan Sdn Bhd sejak dua tahun yang lalu.
Walaubagaimanapun, usaha pembelian terus ini telah mendapat kelulusan
daripada pihak JAKIM. Pengiktirafan status halal pula boleh dirujuk melalui
Sijil Halal yang telah dikeluarkan oleh Halal Industry Development
Corporation (HDC) dengan nombor siri: 00000495.
2) Mi Segara Adabi
Bagi produk Mi Segera Adabi, segala jenis perisa/perencah
(sachet) di dalam bungkusan Mi Segera Adabi merupakan keluaran syarikat
Adabi Consumer Industries. Sebagai sebuah syarikat pengeluaran perencah dan
serbuk masakan, Adabi Consumer Industries mempunyai keupayaan untuk
mengeluarkan pelbagai jenis perencah yang berkualiti. Memandangkan
permintaan pelanggan terhadap mi segera Adabi adalah terhad, Adabi Consumer
Industries tidak dapat mengeluarkan mi tersebut secara terus dari kilang
Adabi. Ini disebabkan kos pengeluaran secara terus memerlukan kos pelaburan
yang tinggi dan ianya adalah tidak ekonomikal. Sebagai alternatifnya, mi (kek)
tersebut dibeli secara terus daripada sebuah syarikat pengeluaran mi yang
berstatus halal dan diiktiraf oleh JAKIM. Produk Mi Segera Adabi ini telah
mendapat pengiktirafan status halalnya daripada JAKIM melalui Sijil Halal
dengan nombor siri:008472.
Sekiranya permintaan pada produk Mi Segera
Adabi meningkat pada masa hadapan, insyaAllah, pengeluaran mi (kek) tersebut
akan dibuat sepenuhnya di kilang Adabi sendiri.
3) Sos Tiran Adabi
Sos Tiram Adabi BUKANLAH produk keluaran syarikat Adabi Consumer
Industries. Produk Sos Tiram Adabi dikeluarkan oleh sebuah syarikat lain
yang telah mendapat hak pentaftaran nama Adabi untuk produk sos tiram (menerusi
keputusan mahkamah). Maklumat pengilang dan pengeluar sebenar produk sos
tiram Adabi boleh dirujuk pada botol produk tersebut. Adabi Consumer
Industries pernah beberapa kali mengumumkan dalam akhbar dan majalah
berhubung perkara ini. Justeru itu, Adabi Consumer Industries tidak
bertanggungjawab atas apa-apa kerugian atau masalah yang timbul akibat
daripada penggunaan produk tersebut.
4) Kicap
Kicap Manis dan Kicap Masin
Adabi merupakan produk keluaran syarikat Adabi Consumer Industries dan tidak
pernah disub-kontrakkan kepada mana-mana syarikat atau pengilang.
5) Perletakan Jawatan Pengurus Yang Beragama Islam
Kenyataan pada e-mel yang diedarkan tersebut merupakan suatu fakta yang tidak berasas dan menyeleweng.
6) Pengurus Pemasaran Berbangsa Cina
Pada masa ini, Adabi Consumer Industries tidak mempunyai Pengurus Pemasaran. Bekas Pengurus Pemasaran yang
telah meletak jawatan adalah seorang melayu dan beragama Islam. kenyataan
yang dikeluarkan pada e-mel tersebut ternyata merupakan satu kenyataan palsu
daripada individu yang tidak bertanggungjawab.
Sebagai sebuah syarikat bumiputra yang ingin berkembang ke peringkat global, Adabi Consumer
Industries sentiasa berusaha menghasilkan pelbagai produk yang boleh
diterima oleh semua orang. Di dalam usaha mempertingkatkan pengeluaran
produk Adabi, akan terdapat usahasama yang dijalankan bersama
syarikat-syarikat lain sama ada melalui 'sub-kontrak' atau lain-lain bentuk
perniagaan. Walaupun demikian, Adabi Consumer Industries memberi jaminan
bahawa sekiranya terdapat produk-produk yang tidak dikeluarkan secara terus
dari kilang Adabi, Adabi Consumer Industries akan tetap memastikan produk
yang dikeluarkan terjamin dari segi halal dan kualiti samada pada
kandungannya, proses pengeluarannya, peralatan dan mesinnya atau apa sahaja
yang berkaitan.
Sekiranya terdapat sebarang keraguan pada mana-mana
produk Adabi, saudara-saudari adalah dinasihatkan untuk terus merujuk kepada
Adabi Consumer Industries Sdn Bhd. Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada
Timbalan Ketua Jabatan Pemasaran: En Mohd Zahiruddin Idrus atau Ketua
Jabatan Kawalan Mutu: Pn Hasimah Abdul Karim di talian: 03-60923678 atau
emel kepada: info@adabi.com.my
Adabi Consumer Industries ingin mengambil kesempatan di sini untuk sekali lagi mengucapkan terima kasih di
atas keprihatinan dan kepedulian saudara-saudari terhadap produk Adabi.
Sokongan saudara-saudari terhadap produk keluaran Adabi Consumer Industries
amatlah diperlukan untuk memastikan Adabi kekal maju, berkembang dan mampu
menjadi contoh syarikat bumiputera Islam yang berjaya. Adabi Consumer
Industries juga memohon kerjasama semua untuk menyebarkan maklumbalas ini
sama ada melalui emel atau sebarang bentuk komunikasi lain.
Sekian, terima kasih.
Abdul Hady Hj Zabil
Presiden, Adabi Consumer Industries Sdn Bhd. 20 Oktober 2008
|
|