HOME  
   
 

NEWS

Keputusan Tepat Kunci Kejayaan Abdul Hady
27 Januari 2008
Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 27 Jan.- Mengambil risiko dalam membuat keputusan tepat bukanlah satu perkara mudah dalam kehidupan seseorang.

Banyak faktor yang perlu diambil kira agar keputusan yang dibuat itu tidak mendatangkan penyesalan di kemudian hari.

Pada hari ini Abdul Hady Zabil, 47, bersyukur dengan keputusan yang diambil pada Mac 1998 untuk menyertai (Adabi), sebuah syarikat pengeluaran produk-produk makanan terkenal di negara ini.

“Saya tidak pernah menyesal dan ingin terus menyumbang kepakaran dan pengalaman di Adabi," tegasnya, dalam dalam nada yang ceria.

Adabi yang diasaskan oleh Datuk Syed Manshor Syed Mahmood pada 1984 mempunyai 13 pengedar yang membekalkan produk-produknya kepada lebih 8,000 peruncit, pemborong dan pasar raya di seluruh negara.

Memiliki lebih 500 pekerja, Adabi kini mencatat jualan tahunan kumpulan mencecah RM150 juta berbanding 25 kakitangan dengan jualan sebanyak RM2 juta pada awal penubuhannya.

Bercerita pengalaman lampau, Abdul Hady terpaksa membuat keputusan untuk menutup syarikat jururunding apabila beliau dan rakan-rakan lain membawa haluan masing-masing.

Namun, skop kerjanya sebagai jururunding kepada syarikat pengeluaran dalam industri makanan yang sering berurusan dengan Adabi menyebabkan beliau ditawarkan jawatan sebagai Pengurus Jualan dan Pesaran di syarikat itu.

Dua tahun selepas itu, anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan yang dibesarkan di Petaling Jaya, Selangor dilantik ke jawatan Pengurus Besar Adabi.

Hampir tiga tahun kemudian, anak kedua daripada tiga beradik dilantik ke jawatan sekarang hasil kesungguhan kekerja.

Kata Pemegang Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Pengurus Pemasaran) dari Universiti South East Missouri State di Amerika Syarikat itu, beliau berpegang dengan prinsip kerja berpasukan untuk menguruskan kejayaan syarikat.

Abdul Hady memulakan karier pertama di F&M Coca Cola sebagai pelatih pengurusan selama tiga tahun.

Kemudian, beliau berhijrah ke Permanis Sdn. Bhd. untuk mengutip pengalaman hampir lima tahun sebelum menyertai Sedap Food Industries Sdn. Bhd. sebagai pengeluar kepada industri makanan.

Aktif dalam aktiviti sukan seperti badminton, ping pong dan sepak takrow, beliau kini lebih selesa beralih ke sukan golf. Jelasnya, sukan itu bukan untuk golongan korporat sahaja.

"Golf tiada had umur. Selain itu, ia tidak memerlukan fizikal yang banyak," jelasnya.

Ditanya riak wajahnya yang serius, jawab Abdul Hady," saya sebenarnya peramah dan boleh bersosial. Masa kerja memang saya serius tetapi habis waktu kerja, saya anggap semua kakitangan sebagai kawan."

 


 
   
   
   
 
  Home | Contact Us | Faq | Site Map
Copyright © 2000 - 2008 Adabi Consumer Industries Sdn Bhd. All Rights Reserved.
Click here for Legal/Privacy Policy applicable to this site.