HOME  
   
 

NEWS

Adabi Teruskan Komitmen Sertai GP Joran 2008
1 Februari 2008
Joran Berita Harian

RAWANG: Adabi Consumer Industries Sdn Bhd (Adabi), terus mengekalkan komitmen terhadap penganjuran Karnival GP Joran oleh Berita Harian, apabila terus menaja pertandingan memancing itu yang memasuki tahun ke-11.

Penajaan itu membabitkan pelbagai produk Adabi termasuk serbuk kari dan perencah masakan untuk dimasukkan ke dalam beg cenderahati peserta selain hamper bagi pemenang.

Presidennya, Abdul Hady Zabil, berkata Adabi melihat penganjur GP Joran adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial syarikat itu selain mendekati pengguna di peringkat akar umbi dalam mempromosi produk makanan berstatus halal.

“GP Joran dilihat banyak memberi impak besar kepada Adabi kerana pertandingan itu membabitkan ramai penyertaan yang rata-rata adalah pengguna. Jadi, kehadiran kami sebagai penaja memberikan satu peluang untuk terus mendekat pengguna ini sekali gus memastikan mereka tidak teragak-agak memilih Adabi sebagai jenama masakan di dapur.

“Menariknya di sini, adalah sebahagian besar (90 peratus) pemancing adalah beragama Islam dan mereka sudah sinonim dengan produk Adabi yang jauh lebih murah, bersih, berkualiti serta halal. Malah, menjadi tugas kami memastikan mereka tidak beralih kepada produk lain," katanya ketika perbincangan dengan Pengarang JORAN, Kamal Ahmad, pejabatnya di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Pengurus Promosi dan Perhubungan Awam Adabi, Chef Raman Abu Samah; Eksekutif Pembangunan Penyelidikan Pemasaran, Zumy Zuheidy dan Eksekutif Promosi dan Perhubungan Awam, Nurul Liza.

Seperti tahun sebelumnya, Adabi akan menaja semua lima siri GP Joran 2008 dan siri Pra-GP Joran yang dijadualkan bermula di Pantai Puteri, Melaka pada 2 Mac ini.

Selain penajaan, Adabi akan menganjurkan demonstrasi memasak menggunakan produk keluaran yang diketahui Chef Raman di semua lokasi GP Joran. Orang ramai yang berminat merasai masakan berkenaan dinasihat mengunjungi gerai Adabi pada hari pertandingan.


 


 
   
   
   
 
  Home | Contact Us | Faq | Site Map
Copyright © 2000 - 2008 Adabi Consumer Industries Sdn Bhd. All Rights Reserved.
Click here for Legal/Privacy Policy applicable to this site.