|
NEWS
Adabi Terus Memberi
Tumpuan Kepada Kualiti
25 November 2006
Utusan Malaysia
RAWANG 25 Nov. - Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. (Adabi),
pengeluar produk-produk makanan akan terus memberi tumpuan kepada
kualiti yang ketat di samping memastikan semua produk keluarannya
dijamin halal, bersih dan lazat.
Presiden Adabi, Abdul Hady Zabil berkata, syarikatmembelanjakan
kira-kira RM500,000 setahun bagi menjalankan penyelidikan dan
pembangunan untuk menghasilkan produk berkualiti, terutama
produk-produk baru.
Ia bagi memacu pertumbuhan jualan yang lebih kukuh pada masa depan, katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
“Ini kerana strategi penghasilan produk mampu mengukuhkan lagi jenama Adabi di pasaran,” jelasnya.
“Kami amat mementingkan piawai kualiti yang ketat dan semua produk
Adabi dijamin 100 peratus halal, bersih, lazat dan bermutu tinggi,”
tegasnya.
Adabi yang diasaskan oleh Datuk Syed Manshor Syed Mahmood pada 1984,
kini mempunyai 13 pengedar yang membekalkan produk-produknya kepada
lebih 8,000 peruncit, pemborong dan pasar raya di seluruh negara.
Kumpulan itu bermula dengan produk serbuk kari di kilang kecil di
kawasan Perindustrian Kecil Batu Caves di sini milik penuh bumiputera
dengan modal berbayar sebanyak RM200,000.
Hari ini, Adabi memiliki lebih 500 pekerja dengan jualan tahunan
kumpulan mencecah RM150 juta berbanding 25 kakitangan dengan jualan
sebanyak RM2 juta pada awal penubuhannya.
Abdul Hady berkata, Adabi merupakan antara syarikat pertama menerima anugerah Piawaian Sirim iaitu MS890:1984.
Baru-baru ini, Adabi menerima anugerah status Superbrand daripada
Malaysia Superbrand Malaysia dan Anugerah Superbrand & Trusted
Brand dari majalah Readers Digests.
Adabi mengeluarkan produk-produk makanan yang menjadi kegemaran
rakyat Malaysia termasuk sup bunjut Adabi yang menerima jualan melebihi
1.75 juta unit sebulan.
Produk lain yang laris di pasaran ialah Serbuk Kunyit, Tepung Cucur, Nasi Goreng Cina & Kampung selain Kicap Manis.
Ketika mengulas mengenai penjagaan kualiti produk-produknya, Abdul
Hady berkata, Adabi menawarkan hadiah RM10 kepada kakitangannya yang
berjaya menangkap haiwan seperti kucing, burung atau serangga seperti
lalat yang berkeliaran di kawasan kilangnya di sini.
Mengenai pengembangan pasaran, beliau berkata, Adabi mahu jenama itu terkenal di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, Adabi kini memasarkan produk-produknya ke Amerika
Syarikat, Australia, Jepun dan Eropah serta negara-negara di rantau ini.
Tambahnya, Adabi juga mempunyai kilang di Indonesia dan Thailand dan pejabat pemasaran di Filipina.
‘‘Adabi akan terus mengeluarkan produk-produk baru setanding dengan produk-produk di pasaran,’’ katanya.
Abdul Hady berkata, syarikatnya kini berjaya mengeluar serta
memasarkan lebih 86 produk bahan masakan yang bermutu tinggi berasaskan
sup, rempah kari, sos dan barangan berasaskan tepung.
Beliau optimis produk terbaru Adabi, Asam Jawa Xtra tanpa biji bakal menjadi pilihan utama masyarakat di negara ini.
‘‘ Kami memperuntukkan kira-kira RM4 juta hingga RM5 juta setahun
bagi tujuan pengiklanan dan promosi untuk memperkenalkan produk-produk
keluaran Adabi.
“Jumlah itu tidak termasuk promosi bagi produk baru, Asam Jawa Xtra sebanyak RM1 juta,” jelasnya.
Abdul Hady menjangkakan syarikat akan menerima perolehan kira-kira
RM102 juta pada tahun ini berbanding RM97.1 juta pada tahun lalu.
Bagi tahun kewangan 2008, syarikat menetapkan sasaran pertumbuhan
jualannya meningkat kira-kira lima peratus menerusi pelancaran
produk-produk baru.
“Kami juga menjangkakan pertumbuhan pesat jualan dari pasar-pasar raya pada tahun depan,” katanya.
|