|
NEWS
Plastik Pembungkusan Ketupat Selamat Digunakan
09 November 2006
Utusan Malaysia
PETALING JAYA 8 Nov. - Plastik jenis
polietilena berketumpatan tinggi (HDPE) yang digunakan untuk
membungkus ketupat segera selamat digunakan kerana ia sudah
melalui ujian yang ketat dan mematuhi piawaian badan
bertauliah.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan
Kesedaran, Forum Plastik Malaysia (MPF), Ahmad Khairuddin
Sha'aban berkata, ujian ke atas plastik jenis itu dipantau
oleh Pentadbir Makanan dan Dadah (FDA) yang berpusat di
Amerika Syarikat.
Katanya, kajian dan ujian ketat yang
dijalankan itu membuktikan HDPE selamat digunakan walaupun
dimasak sehingga 100 darjah celsius.
"Malah, ujian dalam keadaan yang lebih
ekstrem turut dibuat iaitu menggunakan bahan pelarut dan
dididihkan sehingga 135 darjah celsius dan ia masih
menunjukkan HDFE selamat digunakan.
"Jadi, andaian yang dibuat sebelum ini
adalah tidak berasas dan tanpa bukti-bukti yang kukuh,"
katanya pada sidang akhbar dipejabat Persatuan Pekilang
Plastik Malaysia (MPMA) di sini hari ini.
Sebelum ini, CAP mendedahkan bahawa
ketupat segera yang dimasak di dalam plastik jenis itu boleh
mengakibatkan kemandulan dan kanser.
CAP mendakwa, beg plastik HDPE jika
direbus selama sejam akan merembeskan bahan kimia beracun
iaitu organik mudah meluwap (VOC) yang membawa kesan buruk
kepada kesihatan dan alam sekitar.
Malah, dakwaan itu dikuatkan dengan
kajian yang dijalankan oleh sebuah institut dari Amerika
Syarikat yang mendapati VOC daripada paip HDPE merembes ke
dalam alam sekitar dan mencemarkan sumber air.
Ahmad Khairuddin berkata, kajian yang
dinyatakan itu adalah untuk paip plastik dan sehingga kini
masih tidak terbukti kebenaran kajian tersebut.
"Terdapat pelbagai jenis plastik dan
penggunaa yang betul setiap jenis plastik tidak akan membawa
kepada sebarang implikasi.
"Ada yang menjadi masalah sekarang adalah
terdapat sesetengah peniaga atau orang ramai yang tidak
mengetahui cara yang betul sehingga menyebabkan plastik cair
dan sebagainya," ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Kawalan Kualiti,
Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. (Adabi), Hasimah Abdul
Karim berkata, kenyataan sebelum ini yang dikeluarkan dalam
suasana perayaan bukan sahaja hampir menimbulkan rasa panik
tetapi menimbulkan keraguan kepada pengguna.
"Penggunaan ketupat segera adalah lumrah
pada zaman sekarang kerana mudah disediakan dan ia menjadi
pilihan golongan yang tidak menggunakan kaedah tradisional.
"Pihak Adabi sendiri menerima pelbagai
pertanyaan dan aduan daripada orang ramai, malah ada yang
menyuruh mengambil barang yang telah dihantar," jelasnya.
|