|
NEWS
Plastik Ketupat Selamat
- MPF
9 November 2006
Kosmo
PETALING JAYA - Plastik yang digunakan
untuk membungkus ketupat segera telah disah dan dan dibuktikan
selamat, demikian ditegaskan Forum Plastik Malaysia (MPF).
"Ujian telah dilakukan dan jika terbukti
plastik itu jenis polietilena berketumpatan tinggi (HDPE) yang
mengandungi organik mudah terpeluap (VOC), ia tidak akan
diluluskan," kata Pengerusi Pendidikan dan Kesedaran MPF,
Ahmad Khairuddin Sha'abon.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar
sebagai mengulas pendedahan Presiden Persatuan Pengguna Pulau
Pinang, S.M. Mohamed Idris (CAP) baru-baru ini bahawa hasil
kajian oleh Institut Sains dan Teknologi Bahagian Princeton di
Amerika Syarikat pada Ogos lalu bahawa VOC daripada HDPE
merembes ke alam sekitar dan mencemarkan sumber air.
Laporan itu turun menyebut, plastik yang
sama digunakan untuk membuat plastik ketupat yang didakwa
boleh menjejaskan sperma lelaki dan boleh menyebabkan
kemandulan.
Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai
tidak berasas dan mengelirukan pengguna, Ahmad Khairulddin
memberitahu, plastik yang digunakan telah diuji dan disahkan
selamat serta diluluskan di bawah Akta Makanan 1983 dan
Peraturan Makanan 1985.
"Orang ramai tak perlu bimbang untuk makan
ketupat segera sebab kalau nak buat guna kaedah tradisional
pun susah nak mendapat daun kelapa muda," katanya.
Sementara itu, Pengurus Kawalan Kualiti
Adabi Consumer Industries, Hasimah Abdul Karim mengakui
menerima banyak pertanyaan daripada orang ramai mengenai
dakwaan tersebut.
"Ramai pelanggan yang datang bertanya dan
kami nyatakan bahawa produk kami selamat," katanya.
Pengurus Pemasaran Sri Nona Food
Industries, Joseph Jang pula memberitahu, dakwaan tersebut
telah menyebabkan permintaan terhadap ketupat segera keluaran
syarikatnya merosot.
"Kami nak orang ramai tahu, plastik yang
kami gunakan diuji banyak kali sebelum ia disahkan selamat.
Jadi orang ramai tidak perlu bimbang nak gunakannya," ujarnya.
|