HOME  
   
 

NEWS

Adabi Sasar RM100j

Oleh Zainab Mohd Yatim

Produk baru diperkenal, eksport ke Iran, Iraq dan Afrika Barat ditingkat

ADABI Consumers Sdn Bhd yakin mencatat pendapatan RM100 juta sepanjang tahun ini, berbanding RM87 juta yang dicatatnya tahun lalu.

Presiden Adabi, Abdul Hady Zabil, berkata keyakinan itu disandarkan kepada permintaan kukuh di pasaran tempatan terutama dengan pengenalan produk baru, selain penerokaan syarikat di pasaran luar negara.

Bagi meningkatkan bilangan pasaran luar negara, syarikat sedang berunding dengan beberapa pengedar termasuk dari Iran, Iraq dan Afrika Barat.

Abdul Hady berkata, di Iraq syarikat sedang memuktamadkan rundingan dan dijangka penghantaran pertama produk Adabi dapat dilakukan September ini.

"Pasaran Asia Barat adalah sasaran utama kami. Kami baru membuat penghantaran kedua menerusi kontena bersaiz 40 TEU dua bulan lalu ke rantau berkenaan.

"Kami juga sedang memuktamadkan rundingan dengan Iraq yang mungkin mendapat penghantaran pada September dan di Iran juga mungkin tahun ini," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata, antara produk yang dijangka mendapat sambutan di Asia Barat termasuk mee segera, tepung cucur, perencah mee dan bihun goreng serta perencah sup.

Walaupun setiap negara memiliki cara dan budaya tersendiri untuk memasak makanan tempatan, Abdul Hady yakin produk yang dipasarkan akan mendapat sambutan kerana ia bukan saja memudahkan pengguna, tetapi kaedah memasak juga mudah.

Selain itu katanya, syarikat juga akan menghasilkan produk baru yang diubah suai mengikut cita rasa pengguna negara pengimport.

Langkah meningkatkan penerokaan pasaran eksport itu, katanya, adalah selaras hasrat syarikat untuk meningkatkan sumbangan eksport kepada 30 peratus menjelang 2008, berbanding hanya lima peratus ketika ini.

Ketika ini, produk Adabi dieksport ke Singapura, Brunei, Indonesia, Jordan dan Mongolia.

Selain itu, beliau yakin pasaran eksport akan lebih menggalakkan menerusi pengenalan produk makanan siap di masak termasuk makanan dalam tin.

Untuk itu, katanya Adabi sudah melabur RM200,000 untuk membeli peralatan pengeluaran makanan dalam tin yang ditempatkan di kilangnya di Rawang.

Pelaburan itu dibuat untuk menghasilkan produk makanan siap dimasak dalam tin yang dijangka mendapat sambutan baik dari luar negara.

"Mulai tahun depan kami yakin dapat mengeluarkan produk makanan dalam tin secara komersial dan jika permintaan bertambah, kami akan tingkatkan kemudahan di kilang kami dengan pelaburan yang lebih besar.

"Buat masa ini projek itu masih pada peringkat awal dan kami belum membuat keputusan muktamad mengenainya," katanya.


 
   
   
   
 
  Home | Contact Us | Faq | Site Map
Copyright © 2000 - 2008 Adabi Consumer Industries Sdn Bhd. All Rights Reserved.
Click here for Legal/Privacy Policy applicable to this site.