|
NEWS
ADABI RANCANG DISENARAIKAN 2006
11 November2004
Berita Harian
ADABI Consumer Industries Sdn Bhd (Adabi) yang bergiat dalam
pengeluaran produk makanan merancang menyenaraikan sahamnya
di Bursa Malaysia pada 2006.
Pengarah Urusannya, Datuk Syed Manshor Syed Mahmood, berkata
penyenaraian itu adalah sebahagian daripada strategi syarikat
untuk menjana dana bagi membolehkannya meluaskan operasi ke
luar negara.
Syarikat milik Bumiputera yang juga peneraju dalam pasaran
rempah ratus tempatan itu merancang menggunakan dana yang
bakal dijana daripada penyenaraiannya bagi meningkatkan keupayaan
pengeluarannya di Indonesia dan China, yang kini dilaksanakan
secara usaha sama di kedua-dua negara itu.
Operasi Adabi di Indonesia dikendalikan tiga anak syarikatnya
iaitu PT Multi Alam Prima Rasa, PT Multi Alam Prima Raya dan
PT Adabi Manufacturing Indonesia, manakala di China menerusi
Yantai Shinho Adabi Spice Products Co Ltd (YSASP).
Syed Manshor berkata, selain itu Adabi juga melihat peluang
untuk mengambil alih syarikat pengeluar makanan yang mampu
memberi kesan sinergi kepada kegiatan pengembangannya.
"Kami memerlukan modal untuk membolehkan jenama Adabi
terus berkembang bukan saja di Malaysia tetapi juga di luar
negara.
"Oleh itu kami melihat cadangan untuk menyenaraikan
syarikat di Bursa Malaysia adalah tepat pada masanya.
"Ini kerana, kami melihat industri pengeluaran makanan
di Malaysia berdepan persaingan sengit daripada syarikat multinasional
dan perlu memanfaat peluang perniagaan yang lebih luas di
luar negara," katanya kepada Berita Harian, di ibu pejabatnya,
di Rawang, baru-baru ini.
Adabi yang memulakan operasinya sejak Mac 1983 terus berkembang
dengan menghasilkan pelbagai jenis produk rempah ratus merangkumi
serbuk kari, kunyit, sup bunjut, produk berasaskan tepung,
sos, mi segera dan makanan ringan.
Bermula secara kecil-kecilan di kilang di Batu Caves, Selangor
dengan bermodalkan RM150,000, Adabi yang diasaskan Syed Manshor
terus mengorak langkah menghasilkan produk bermutu setanding
jenama terkenal yang ketika itu menguasai sebahagian besar
pasaran makanan tempatan.
Syed Manshor, bekas seorang guru mengabadikan nama Adabi
iaitu seorang nasionalis pendidikan dari Kelantan sebagai
jenama keluaran syarikat.
Walaupun terpaksa mengharungi pelbagai kesukaran, dengan
strategi yang betul serta produk bermutu dan kreatif, jenama
Adabi kini mampu menguasai sebahagian besar pasaran produk
seperti serbuk kari, sup dan tepung goreng pisang.
Dengan memberi penekanan kepada kualiti produk serta program
promosi dan pengiklanan (A&P), Adabi terus berkembang
dengan membentuk 11 rangkaian pengedaran kukuh di seluruh
negara.
Syed Manshor berkata, setiap tahun syarikat itu akan menghasilkan
antara 10 produk baru dalam usahanya mempelbagai keluaran
sedia ada.
"Kami benar-benar menekankan kepada aspek kualiti sehinggakan
jika tiada kakitangan kawalan mutu (QC), operasi pengeluaran
tidak dapat dijalankan.
"Kami juga yakin untuk bersaing dalam industri, Adabi
perlu mempunyai keunikan tersendiri serta produk utama dan
ia terbukti berjaya menaikkan jenama Adabi," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan kepada pengembangan produk baru
dan pengukuhan jenama, Adabi menjangka mencatatkan keuntungan
sebelum cukai RM10 juta daripada unjuran pendapatan RM97 juta
tahun depan.
Tahun ini, syarikat itu mengunjurkan keuntungan sebelum cukai
RM6.5 juta daripada pendapatan RM85 juta, masing-masing meningkat
berbanding RM5.5 juta dan RM74.9 juta tahun kewangan lalu.
|