|
NEWS
ADABI MAHU TEMBUSI PASARAN ASIA BARAT TAHUN DEPAN
6 Disember 2004
Berita Harian
ADABI Consumer Industries Sdn Bhd (Adabi) pengeluar produk
makanan dan rempah ratus Bumiputera merancang menembusi pasaran
Asia Barat mulai tahun depan.
Langkah itu sejajar usahanya memanfaatkan potensi pasaran
makanan halal di rantau itu bagi meluaskan lagi pasaran eksportnya
yang kini hanya menyumbang lima peratus kepada pendapatannya.
Pengarah Urusannya, Datuk Syed Manshor Syed Mahmood, berkata
pemasaran produk Adabi ke Asia Barat dilaksanakan oleh syarikat
pemasaran yang akan dibentuk secara usaha dengan rakan niaga
dari rantau itu.
Beliau berkata, syarikat pemasaran itu yang bakal berpangkalan
di Arab Saudi akan bertanggungjawab bagi pengedaran produk
Adabi di Asia Barat.
"Kami sedang berunding dengan rakan niaga strategik
di Arab Saudi bagi mewujudkan syarikat usaha sama, dan Adabi
juga akan menghantar wakil ke negara itu bagi mengenal pasti
cita rasa yang sesuai bagi pasaran rantau berkenaan.
"Bagaimanapun, produk untuk pasaran itu akan dikeluarkan
di kilang di Rawang, yang kini beroperasi pada tahap kapasiti
80 peratus," katanya dalam pertemuan dengan Berita Harian
di pejabatnya di Rawang, baru-baru ini.
Persaingan yang semakin sengit dalam pasaran tempatan mendorong
syarikat itu untuk lebih agresif meneroka potensi perniagaan
di luar negara.
Ia sejajar usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai
hab produk makanan halal antarabangsa.
Ketika ini keluaran Adabi dieksport ke Jepun, Australia,
Indonesia, Kanada dan Brunei.
Syarikat itu yang juga mempunyai operasi pengeluaran di Indonesia
dan China, mensasarkan bahagian eksportnya yang kini menjana
pendapatan RM1.5 juta setahun, mampu mencatat peningkatan
memberangsangkan dengan penembusan produk Adabi ke Asia Barat.
"Permintaan terhadap produk makanan halal adalah sangat
besar di Asia Barat dan kami yakin usaha ini bukan saja mampu
mengembangkan jenama Adabi, malah turut meluaskan lagi pemasaran
keluaran tempatan di peringkat antarabangsa.
"Antara produk yang dilihat berpotensi di pasarkan di
Asia Barat ialah mi segera dan makanan ringan yang akan dikeluarkan
berdasarkan cita rasa masyarakat rantau berkenaan," kata
Syed Manshor.
Beliau berkata, Adabi yang mula mengeluarkan mi segera setahun
lalu, yakin makanan itu mempunyai potensi pasaran besar di
rantau berkenaan.
Ia kini menghasilkan 10 perisa termasuk mi bandung, asam
pedas dan tiga rasa.
Adabi yang menembusi pasaran Indonesia pada 1994 dan mempunyai
kilang di Solo, sedang giat mengembangkan operasi pengeluarannya
di negara itu termasuk menghasilkan lebih banyak produk baru.
Syed Manshor berkata, operasi di Indonesia kini dikendalikan
tiga anak syarikat iaitu PT Multi Alam Prima Rasa, PT Multi
Alam Prima Raya dan PT Adabi Manufacturing Indonesia dengan
mempunyai 200 kakitangan.
"Bagi menjadikan kegiatan eksport ini lebih fokus, Adabi
juga sudah menubuhkan Bahagian Eksport yang akan memberikan
tumpuan kepada usaha meluaskan pemasaran produk ke luar negara,"
katanya.
Katanya, Adabi yang kini menjadi peneraju dalam pengeluaran
produk sup, serbuk kari dan tepung goreng pisang di pasaran
tempatan, turut menjalinkan kerjasama dengan institusi pengajian
tinggi bagi menjalankan kegiatan penyelidikan dan pembangunan
(R&D) produk baru.
Di samping itu, beliau berkata, menerusi kerjasama dengan
Universiti Putra Malaysia (UPM), Adabi menjangka mengeluarkan
produk serbuk daging dan ayam yang disasarkan kepada industri
pengeluaran makanan, tahun depan.
Pengeluaran produk itu yang pertama seumpamanya dijangka
mampu mengukuhkan lagi jenama Adabi dalam industri makanan
tempatan, katanya.
Dengan memperuntukkan kira-kira RM1 juta setahun bagi kegiatan
R&D, Adabi turut memberi penekanan kepada aspek kawalan
mutu produk serta kegiatan promosi dan pengiklanan (A&P)
bagi memantapkan pembangunan jenama keluarannya.
|