HOME  
   
  NEWS

MENJELANG JOM PANCING CELCOM: BAWA MASAKAN , RESIPI DARI RUMAH
02 July 2004
Berita Joran


KUALA LUMPUR: Peserta pertandingan memasak sempena Karnival Jom Pancing Celcom di Taman Tasik Titiwangsa di sini pada 11 Julai depan hanya perlu memasak juadah yang hendak dipertandingkan di rumah dan membawanya ke lokasi untuk diadili.

Kaedah itu didapati lebih memudahkan peserta dan menjimatkan masa pertandingan berbanding kesulitan membawa pelbagai bahan masakan serta perkakasan memasak ke lokasi.

Masakan itu bagaimanapun perlu menggunakan satu daripada tiga produk Adabi iaitu kari daging, kari ikan dan rempah kurma. Sebagai bukti penggunaan rempah itu, peserta perlu membawa bungkusan berkenaan ketika mempamerkan masakan masing-masing di Tasik Titiwangsa.

Pengurus Perhubungan Awam dan Promosi merangkap Ketua Chef Adabi Consumer Industries Sdn Bhd, Chef Raman Abu Samah, berkata peserta juga perlu menyediakan resipi bertulis, cara penyediaan dan menamakan hidangan masing-masing untuk proses penghakiman.

Beliau berkata, peserta hanya perlu menghias masakan yang disediakan di tapak pertandingan berhampiran pentas utama tasik itu sebelum penghakiman dilakukan pada jam 10 pagi.

“Pertandingan ini terbuka kepada 100 peserta dan mereka yang berminat hendaklah mendaftar di tempat pertandingan sebelum acara dimulakan, tepat jam 9 pagi.

“Juara akan menerima hamper Adabi bernilai RM150, tempat kedua (RM100) dan ketiga (RM80). Pemenang keempat hingga ke-10 masing masing-masing menerima hamper bernilai RM50,” katanya.

Penyertaan terbuka kepada pelanggan Celcom 013 atau 019. Penyertaan masuk adalah percuma.

Pertandingan memasak adalah antara acara sampingan sempena Karnival Jom Pancing Celcom khusus untuk pelanggan 013 dan 019, anjuran Celcom (Malaysia) Berhad (Celcom) dan Berita Harian.

Pelanggan Celcom yang mahu menyertai pertandingan memancing itu boleh mendapatkan borang pendaftaran melalui sisipan JORAN dalam Berita Harian setiap Jumaat selain Harian Metro dan New Straits Times.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut hubungi Unit Joran Berita Harian 03-22822323 sambungan 4471/4930 atau kunjungi www.celcom.com.my

Celcom adalah syarikat telekomunikasi mudah alih utama di negara ini dengan pelanggan berjumlah 4.4 juta orang. Setakat ini, Celcom mempunyai liputan bagi 95 peratus kawasan berpenduduk di negara ini.

Ia menawarkan perkhidmatan perayauan antarabangsa bagi lebih 90 negara melalui 200 rangkaian antarabangsa. Ia juga menawarkan perkhidmatan talian pascabayar dan prabayar melalui kod laluan 019 dan 013.


 
   
   
   
 
  Home | Contact Us | Faq | Site Map
Copyright © 2000 - 2008 Adabi Consumer Industries Sdn Bhd. All Rights Reserved.
Click here for Legal/Privacy Policy applicable to this site.