NEWS
ADABI LABUR RM2.8 JUTA CEBURI KHIDMAT
KATERING
24 March 2004
Berita Harian
ADABI Consumer Industries Sdn Bhd (Adabi), pengeluar rempah-ratus,
akan memperkenalkan perkhidmatan penyediaan makanan atau katering
sebagai cabang terbaru perniagaannya.
Pengurus Perhubungan Awam Adabi, Raman Abu Samah, berkata
perniagaan baru itu dijangka menyumbang di antara 30 peratus
hingga 35 peratus kepada perolehan syarikat setiap tahun.
Katanya, banyak peluang perniagaan yang boleh diteroka oleh
syarikat menerusi perkhidmatan katering itu selain ia memberi
kesan sinergi kepada perniagaan teras syarikat.
“Perkhidmatan katering ini akan memberi sinergi kepada
perniagaan teras kami dan berpotensi menjadi antara penyumbang
pendapatan utama pada masa depan,” katanya ketika ditemui
selepas perasmian pameran Makro Horeca Extravaganza 2004 di
Stadium Melawati, Shah Alam, semalam.
Adabi ialah satu daripada 60 syarikat peruncit yang terbabit
dalam pameran tiga hari itu anjuran Makro Cash & Carry
Distribution (M) Sdn Bhd.
Raman berkata, Adabi memperuntukkan RM2.8 juta bagi memulakan
perniagaan itu, termasuk menyediakan kelengkapan dapur dan
pinggan mangkuk serta pengambilan 100 kakitangan baru.
Katanya, sasaran utama pelanggan bagi perkhidmatan katering
itu ialah sekolah, universiti, kolej, hospital, majlis korporat
serta perkahwinan.
“Kami sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian
Pendidikan untuk mendapatkan kontrak mengendalikan perkhidmatan
penyediaan makanan di sekolah berasrama penuh di negara ini,”
katanya.
Sementara itu, Raman berkata, bidang perkhidmatan katering
Adabi bukan saja terhad kepada penyediaan tetapi juga menjual
rempah-ratus khusus untuk pengusaha katering.
Untuk tujuan itu, Adabi menyediakan semua rempah ratus dan
adunan asas memasak dalam pakej yang besar dengan berat antara
satu kilogram hingga tiga kilogram.
Bungkusan besar itu merangkumi 30 produk keluaran Adabi termasuk
serbuk kari, serbuk cili dan kunyit, serbuk rendang dan bahan
perencah sup, nasi goreng, bihun dan tom yam.
Bagi memasarkannya, Adabi menyediakan kemudahan kepada peniaga
kecil yang memerlukan mereka hanya menyediakan modal RM2,000
dan akan dibekalkan dengan semua produk berkenaan.
Barangan boleh didapati daripada 11 cawangan jualan Adabi
di bandar utama seluruh negara, iaitu Kota Bharu, Kuala Terengganu,
Kuantan, Temerloh, Ipoh, Mentakab, Muar, Johor Bahru, Sungai
Petani, Kuching dan Kota Kinabalu.
|