Latest Adabi News
Syed Mahadzir Legasi ADABI
Wanita - Stail Lelaki
17 June 2011
oleh NORFAIZA ISMAIL
gambar JEFFRI RAHMAN
Raut wajah tenang dengan tutur kata sopan, anak muda ini punya aura semula jadi yang memancarkan kredibilitinya. Figura Syed Mahadzir Datuk Syed Manshor, yang juga anak lelaki sulung kepada pengasas syarikat rempah ratus ulung negara – Adabi, belum pernah dirakam secara eksklusif oleh mana mana media, WANITA yang pertama.
Kini bergelar Group Distribution Development Manager di Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd., Mahadzir menegaskan kejayaan tidak datang bergolek. Baginya tiada istilah 'anak ayah', sebaliknya Datuk Syed Manshor selaku Pengarah Urusan Adabi sendiri meletakkan anak bujangnya itu di bahagian operasi dengan tugasan menaiki lori dan menghantar produk ke serata ceruk desa sewaktu mula Mahadzir menyertai Adabi.
Pengalaman Mendewasakan
"Saya bermula kosong, belajar langkah demi langkah sejak menyertai Adabi empat tahun lalu, barulah layak menyertai barisan pengurusan," katanya yang berkelulusan Sarjana Sains dalam Perniagaan Antarabangsa dari University of Nottingham, United Kingdom.
Merasai pengalaman menjual dan memasarkan produk ke pasar raya, Mahadzir mengakui dia mengutip satu persatu pengalaman berharga walaupun proses pembelajaran yang merangkumi semua bahagian berlaku dalam masa suntuk.
Daripada seorang pekerja operasi, Mahadzir kini mengendalikan 270 kakitangan di bawah pengurusannya. Dengan tanggungjawab besar melingkari tugas, tumpuan paling utama adalah untuk memastikan produk Adabi berada di pasaran dengan kualiti
optimum.
Memenuhi tuntutan ini, Mahadzir kerap bertugas keluar daerah sehingga dua atau tiga kali dalam tempoh sebulan bagi memastikan stok produk sampai kepada dua belas syarikat subsidiari Adabi seluruh Malaysia.
"Sebagai orang muda yang menyertai bahagian pentadbiran, cabaran sebenar datang dalam diri sendiri. Pertama, memilih cara tepat untuk berhadapan dengan kakitangan yang lebih berpengalaman; kedua, mengubah persepsi dan mentaliti semua pihak yang menjalankan urusan dengan saya; dan akhir sekali tentunya untuk meraih rasa hormat," ujarnya senyum.
Istimewa Adabi di Hati
Lahir pada 1983, Mahadzir menyifatkan dirinya sebahagian darah daging Adabi.
"Lantaran Adabi seusia saya, saya membesar bersama Adabi dan melihat sendiri kegigihan ayah dalam membangunkan jenama ini. Jadi sejak kecil saya begitu rapat dengan jenama Adabi sehingga saya menanam azam untuk berkhidmat dengan Adabi," imbas jejaka berusia 27 tahun ini.
Bagi melaksanakan cita-citanya, Mahadzir menduduki peperiksaan A Level di Kolej Damansara Utama dan meneruskan pengajian ijazah per tamanya dalam bidang Kejuruteraan Pembuatan dan Pengurusan di University of Warwick, United Kingdom.
"Saya mengambil bidang yang begitu rapat dengan Adabi iaitu penghasilan dan pengurusan perniagaan supaya dapat meneruskan perjuangan Adabi sebagai syarikat 100 peratus milik bumiputera yang maju," terang anak kedua dari empat beradik ini.
Tambah Mahadzir, buat masa ini cuma dirinya yang meneruskan legasi ayahnya di Adabi. Mempunyai dua orang kakak yang masing-masing menempa kerjaya mengikut minat sendiri, Mahadzir juga mempunyai seorang adik lelaki yang bakal menduduki SPM tahun ini.
"Rasanya bidang perniagaan sudah tidak boleh dipisahkan lagi dengan saya. Apatah lagi dengan Adabi. Sewaktu bersekolah rendah, rakan-rakan tidak henti menyanyikan lagu iklan Adabi sambil membuka tingkap sebaik sahaja nampak kelibat saya!" tawanya mengimbau kembali siri iklan Adabi yang popular lewat 90-an dahulu.
Ujarnya lagi, minat yang begitu mendalam pada bidang perniagaan juga menyebabkan dia mencantumkan hobi bermain futsal dengan membuka gelanggang futsal di bawah pengurusannya yang terletak di Jalan 225, Petaling Jaya, Selangor.
|
PROFIL Nama
Syed Mahadzir Datuk Umur 27 tahun Tarikh lahir 29 November 1983 Kerjaya
Group Distribution Pendidikan
MSc International
Bachelor |
Mahadzir rapat dengan |